Friday, October 30, 2009

Catan..


Catan merupakan hasil seni bahantara pigmen warna pada permukaan rata seperti kanvas atau kertas.


Catan membolehkan pelukis meluahkan perasaan, membuat interpretasi pandangan, dan merakamkan gambaran yang dirasa dan dilihatnya dalam bentuk imej visual.

Catan juga membolehkan pelukis membuat penerokaan yang jauh mendalam tentang gaya persembahan yang asli dan tersendiri.

Antara bahan yang biasa digunakan untuk menghasilkan karya catan ialah cat tempera, cat air, guoche, cat minyak dan akrilik.

Seni catan telah bermula sejak zaman Yunani Purba lagi, banyak menggambarkan tentang adat istiadat dan keagamaan. Antara pelukis pada zaman itu ialah Polynotos, Zeuxis, Apelles dan Protogenes.

Zaman kemuncak seni lukis di Eropah adalah pada Zaman Renaissance atau juga dikenali sebagai Zaman Pembaharuan pada abad ke-14 hingga abad ke-16. Banyak menggunakan media fresko, cat tempera, cat minyak dan cat air. Subjek yang menjadi keutamaan ialah peristiwa kitab suci agama Kristian, potret, dan juga peperangan. Gaya catan yang ditampilkan adalah bersifat realistik. Pelukis yang terkenal pada zaman ini ialah Leonardo Da Vinci ( Itali 1452-1519) dan Albrecht Durer (Jerman 1471-1528).

Pada abad ke-19 dan ke-20, muncul aliran catan gaya baru iaitu semi abstrak dan abstrak. Ianya banyak menggambarkan tentang kegiatan manusia, landskap dan pemandangan serta objek yang tidak ada kaitan dalam sesuatu situasi yang tidak dijangka.

Antara aliran catan yang lain ialah Impresionisme, Ekspresionisme, Abstrak ekspresionisme, Kiubisme dan juga surealisme. Antara pelukis-pelukis daripada aliran tersebut ialah Paul Cezanne (Perancis 1839-1906), Vincent Van Gogh (Belanda 1853-1890), Henri Matisse (Perancis 1869-1954), Pablo Picasso ( Sepanyol 1881-1973), Salvador Dali (Sepanyol 1904-1989), dan Jackson Pollock (Amerika 1912-1956).

REALISME
Gaya catan dibuat mengikut ciri-ciri objek atau subjek yang dilukis dengan tepat. Catan lebih banyak tertumpu kepada landskap atau pemandangan, potret dan juga gambaran yang berkaitan dengan peristiwa tertentu.

IMPRESIONISME
Gaya catan ini mengutamakan kesan suasana atmosfera. Warna yang digunakan berasaskan perkara yang dilihat dalam jangka masa tertentu, ianya juga kelihatan seperti menampilkan karya yang menuju ke arah semi abstrak kerana perhatian tertumpu kepada warna, pencahayaan dan apresiasi pelukis. Karya aliran Impresionisme banyak menampilkan alam benda, dan pelbagai peristiwa biasa yang menarik.

EKSPRESIONIME
Melukis secara spontan mengikut naluri perasaan atau ekspresi dengan tenaga yang datang dari dalam. Ianya tidak menekankan bentuk asal objek tetapi lebih menekankan unsur-unsur seni seperti warna, jalinan, bentuk dan garisan. Catan aliran ini juga menampakkan kesan warna yang rata tetapi ia masih menimbulkan kesan ruang dan gambar tiga dimensi.

EKSPRESIONISME ABSTRAK
Aliran ini menampilkan karya yang menunjukkan peluahan idea dan rasa, perasaan, falsafah, peribadi dan sejagat melalui catan yang spontan dan agresif. Karya-karya yang dihasilkan juga kadang kala menggunakan simbol untuk menyampaikan sesuatu mesej, imej abstrak, dan sifat realistik juga hilang daripada rupa sebenar. Ekspresionisme abstrak menggunakan pelbagai teknik dan media contohnya teknik renjisan, lukisan cat tepat (hard edge), kolaj, fotografi dan campuran. Catan ini juga tidak tertumpu kepada suatu subjek yang tertentu, tetapi ia lebih luas dan bebas.

KIUBISME
Catan yang menggunakan rupa-rupa geometrik, iaitu melukis bentuk kubus dan bentuk geometri lain dalam catan dua dimensi. Bentuknya dipecah-pecahkan supaya dapat dipandang dari pelbagai sudut. Karya juga dapat menimbulkan ilusi tiga dimensi yang lutsinar dan gambaran pergerakan. Catan aliran Kiubisme mengutamakan kesan warna yang bertenaga, jalinan yang pelbagai, serta cara ekspresi yang bebas.

SUREALISME
Karya-karya catan aliran Surealisme banyak menampilkan imej-imej di bawah sedar atau dalam khayalan. Gaya catan yang dihasilkan adalah bersifat spontan, mengikut intuisi dan gerak hati tanpa berfikir atau mengkaji. Objek-objek yang tidak berhubungan diletakkan bersisi dalam suatu situasi yang tidak berkaitan atau pun suatu situasi yang tidak dijangka. Subjek biasanya menggambarkan suatu yang aneh dan luar biasa, kadang kala ianya berkaitan dengan alam fantasi.


Media

Cat Air

Bahan warna dalam karya cat air ialah pewarna dalam bentuk kek atau tiub. Ia bersifat lut sinar, lembut dan boleh dibuat legap sekiranya cat air dari tiub. Cat air akan menjadi tebal sekiranya disapu berlapis-lapis. Bahantara yang digunakan ialah air. Kertas yang digunakan ialah kertas cat air. Berus yang sesuai digunakan untuk karya cat air ialah jenis lembut dan beraiz antara 000 hingga 14. Palet juga diperlukan untuk membancuh warna. Sebuah bekas seperti gelas atau botol yang bermulut lebar diperlukan untuk mengisi air bersih dan untuk mencuci berus.


Cat Poster

Cat poster boleh didapati dalam tiub atau botol. Ia mengandungi pengilat larut air dan bersifat legap. Bahantara yang digunakan ialah air. Berus yang digunakan untuk berkarya menggunakan cat poster ialah jenis lembut dan keras. Manakala kertas daripada jenis ‘cartridge’ yang tebal dan berpermukaan licin digunakan. Air yang bersih diperlukan untuk menghasilkan campuran warna.


Cat Tempera

Bahan warna berbentuk serbuk atau perekat dalam tiub yand=g sedia proses. Ia mengandungi bahan pengilat seperti kuning telur atau gam cecair. Untuk menghasilkan karya menggunakan cat tempera, alat dan bahan yang digunakan ialah berus jenis lembut atau keras, kertas tebal, kain kanvas atau papan. Biasanya teknik yang diaplikasikan ialah disapu mengikut lapisan yang nipis, jalur sapuan diselang-selikan supaya kesan warna rata dan licin.


Cat Minyak

Cat minyak telah diperoleh dalam bentuk tiup. Bahantara untuk menggunakan cat minyak ialah turpetine. Bahan pengilat yang boleh digunakan ialah minyak linsid, minyak poppy atau minyak kacang. Berus yang digunakan adalah jenis lembut dan keras, pisau palet, kekuda, kanvas, papan, kayu playwood dan kadbod. Teknik yang diaplikasikan ialah teknik lipasto, glazing, cat tepat atau hardedge, titik scumbling atau teknik melembut.


Teknik Catan

Teknik Basah Atas Kering

Ciri-ciri

Teknik ini melibatkan sapuan warna basah ke atas permukaan kertas yang kering untuk menghasilkan kesan legap. Teknik ini banyak digunakan kerana sesuai dengan beberapa jenis media dan agak senang dikawal sapuan warnanya. Teknik ini juga boleh menggunakan warna yang basah dan disapukan ke atas lapisan warna yang telah kering bagi mendapatkan kesan lut sinar.

Campuran Warna

Campuran warna yang hendak digunakan haruslah tidak pekat dan tidak terlalu cair. Kertas hendaklah kering. Sapuan berus yang spontan adalah digalakkan.

Warna disapu ke atas kertas lukisan yang kering. Mulakan dengan lapisan yan nipis dan ditindih berperingkat-peringkat dengan ton yang semakin gelap. Untuk mendapatkan kesan transparensi, basahkan berus dan celup ke dalam warna yang cair, sapu di atas kertas lukisan. Biarkannya kering dan ulangi aktiviti yang sama.


Teknik Basah Atas Basah

Ciri-ciri

Teknik ini melibatkan sapuan warna cair ke atas permukaan kertas yang basah. Ia menghasilkan kesan lut sinar. Teknik ini merupakan teknik yang dramatik bagi media cat air dan yang paling sukar untuk dikawal sapuannya. Pelukis harus membiarkan warna terdahulu yang masih lembap. Sapuan warna berikutnya adalah lebih tinggi kandungan air dan pewarnanya. Jika tidak, warna akan bercampur dan hasilnya nampak kotor.

Campuran warna

Campuran warna hendaklah tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Sebaik-baiknya ia harus mempunyai nilai warna yang cukup terang. Ini kerana warna cat air akan nampak kurang cerah apabila kering. Gunakan sapuan berus yang spontan.

Kertas dibasahkan dengan satu lapisan air atau warna yang cair. Warna disapukan apabila permukaan masih basah. Jika menggunakan lakaran pensel, elakkan daripada memadam garisan kerana ini akan menimbulkan kesan berbulu. Seterusnya ia akan meninggalkan kesan kering berlegap.


Teknik Berus Kering

Ciri-ciri

Teknik yang melibatkan sapuan warna terus dari tiub ke atas permukaan kertas. Teknik ini boleh juga melibatkan sapuan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering untuk menghasilkan kesan jalinan. Ia akan memberi kesan kering berlegap.

Campuran warna

Gunakan warna terus dari tiub atau bancuhkan warna yang dikehendaki itu dahulu dengan pekat. Kertas hendaklah kering. Sebaik-baiknya, asingkan warna yang telah dibancuh.

Gunakan berus yang kering untuk mengambil warna yang telah dibancuh. Warna disapukan dengan rata pada bahagian tertentu di atas permukaan kertas yang kering. Sapukan pada bahagian tersebut satu demi satu supaya warna pada setiap bahagian tidak bercampur. Gunakan berus yang halus bagi menandakan jalinan yang halus. Jika ingin menimbulkan kesan tindihan, biarkan warna kering dahulu. Kemudian, sapukan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering.


Teknik Kecatan

Ciri-ciri

Teknik ini melibatkan sapuan warna terus dari tiub. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat. Catan jenis ini memberi kesan jalinan dan kekasaran. Melalui teknik ini, catan kelihatan bebas, semula jadi dan spontan.

Campuran warna

Warna yang pekat dari tiub digunakan. Sapuan warna terus dari tiub atas kertas. Jika hendak menggunakan air, hanya gunakan sedikit sahaja.

Ambil warna terus dari tiub dan sapukan pada permukaan kertas lukisan. Campuran warna yang kedua ditindihkan di atas warna yang pertama tanpa menunggu warna itu kering. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat.


TEKNIK-TEKNIK BAGI CATAN CAT MINYAK

Teknik Titik (Pointilisme)

Menggunakan berus untuk membentuk titik-titik berwarna yang disusun dengan cara sistematik di atas latar putih. Karya yang dihasilkan adalah sangat teliti.

Teknik Impasto

Menggunakan warna yang pekat terus dari tiub kemudian dibancuh dengan berus atau pisau palet di atas kanvas. Kesan jalinan sentuh da jalinan tampak yang menarik.

Teknik lukisan cat tepat atau 'hard edge'

Catan abstrak yang mempunyai rupa bentuk yang jelas dan mempunyai batasan yang tepat. Gubahannya biasanya ringkas, tepat dan teratur. Karya yang dihasilkan menggunakan 'masking tape' untuk memisahkan warna sehingga menimbulkan kesan seolah-olah catan dipotong. Paling popular bagi pelukis Seni Op.

Teknik Glazing

Karya dihasilkan dengan sapuan berus selapis demi selapis untuk menimbulkan kesan yang lembut dan licin seolah-olah menampakkan kilauan. Teknik ini adalah rumit kerana memerlukan masa yang lama, warna yang disapu selapis, dibiarkan kering, kemudian disapu lapis yang lain sehingga tercat satu filem warna lutsinar.

Teknik melembut (Scumbling)

Menggunakan satu lapisan nipis warna legap secara kasar di atas warna latar. Menimbulkan kesan lutsinar yang menunjukkan warna latar kelihatan seolah-olah menembusi sehelai kain halus. Menampakkan hasil kesan kusam dan bertekstur yang menarik. Menggunakan berus keras secara kasar dan tidak rata atau tersusun rapi untuk menimbulkan kesan.